Wednesday, 9 September 2009

Masihkah kau ingat...: Sengaja dakwa diracun untuk menghasut penyokong berdemonstrasi

Keratan akhbar Utusan Malaysia 20/9/1999

KUALA LUMPUR 19 Sept. - Datuk Seri Anwar Ibrahim sengaja menimbulkan dakwaan keracunan arsenik dengan harapan kes liwatnya yang sedang dibicarakan tidak dijadikan bahan kempen pilihan raya selain untuk menghasut para penyokongnya mengadakan demonstrasi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad berkata, ini kerana selagi kes itu masih dibicarakan, selama itulah sesiapa pun tidak boleh membuat komen mengenainya, termasuk semasa kempen pilihan raya.

''Sebenarnya isu arsenik ini hanya untuk memanjangkan perbicaraannya sahaja kerana apabila kes sudah selesai rakyat boleh membuat ulasan ke atas kes itu.

''Jadi sebenarnya dia tidak mahu kita membincangkan kesnya semasa kempen dalam pilihan raya umum. Kes itu akan berterusan dan ini tidak pernah berlaku dalam sejarah,'' katanya.

Perdana Menteri menyatakan demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Kelab Golf Perkhidmatan Awam (KGPA) berharga RM20 juta serta hari keluarga kelab itu di Bukit Kiara, di sini hari ini.

Sebelum itu beliau ditanya mengenai kemungkinan bekas Timbalan Perdana Menteri itu sengaja mendakwa dirinya keracunan arsenik bagi melewat-lewatkan pengumuman tarikh pilihan raya umum dan untuk membangkitkan kemarahan penyokongnya.

Dr. Mahathir menegaskan, isu itu sengaja dibesar-besarkan oleh Parti Keadilan Nasional (Keadilan) kerana sokongan rakyat terhadapnya semakin berkurangan.

Beliau yang mengesahkan bahawa Anwar kini sihat berkata, isu itu juga sengaja ditimbulkan untuk mencetuskan kemarahan penyokong Anwar.

''Mereka mahu orang mereka menjadi sangat marah, sebab itu dia buat dakwaan itu. Kalau tidak Keadilan tidak ada sokongan langsung,'' katanya.

Menurut beliau, ini kerana orang yang telah menyokong Keadilan sebelum ini didapati telah kembali kepada UMNO.

''Dalam kes tertentu mereka bubarkan Keadilan, mereka sertai semula UMNO kerana mereka tahu tidak ada asas bagi dakwaan adanya konspirasi,'' ujar Dr. Mahathir.

Menurutnya, Anwar tidak sepatutnya membuat dakwaan sedemikian terhadap kerajaan yang telah memberikan layanan yang baik kepadanya semasa dalam perbicaraan dan di dalam penjara.

''Dia adalah tahanan yang paling bebas dalam sejarah Malaysia. Dia bebas bercakap dengan media, dapat makanan daripada keluarga, bercakap dengan keluarga dan sebagainya,'' kata beliau.

Beliau menegaskan, Anwar dan Keadilan juga sengaja menimbulkan isu itu dengan tujuan ia dapat mencetuskan demonstrasi setelah sekian lama mereka tidak berbuat demikian.

''Jadi untuk nak bagi penyokongnya marah dan mengadakan demonstrasi, dia dakwa kena keracunan,'' katanya.

Menurut beliau, personaliti Anwar yang suka mengajak rakyat berdemonstrasi sejak tahun 1970-an itu masih kekal hingga sekarang.

Katanya, beliau masih ingat peristiwa demonstrasi di Baling, Kedah, pada 1974 apabila Anwar berjaya bangkitkan kemarahan dan demonstrasi pelajar setelah mendakwa kononnya seorang budak mati kebuluran.

Bagaimanapun kata Perdana Menteri, selepas itu bapa budak berkenaan sendiri begitu marah kerana perkara tersebut ternyata tidak benar kerana di rumahnya penuh dengan makanan.

''Dia (bapa budak itu) kata macam mana anaknya nak mati kebuluran sedangkan rumahnya penuh makanan,'' katanya.

Menurut Dr. Mahathir, dalam budaya kampung tidak ada siapa yang boleh mati kerana kebuluran.

''Penduduk kampung akan beri sesuatu apa yang mereka ada seperti makanan dan sebagainya.

''Kita selalu hantar makanan ke rumah jiran dan sebagainya. Kalaulah dia (Anwar) tengok betul budak ini tidak makan tentu dia akan hantar makanan. Tetapi dia (Anwar) boleh gunakan alasan itu untuk membangkitkan perasaan marah di kalangan pelajar dan dengan itu mereka mengadakan demonstrasi,'' katanya.

Menurut Dr. Mahathir, kes itu menunjukkan Anwar boleh berbuat apa sahaja untuk mencetuskan demonstrasi dengan membuat pelbagai alasan tidak benar bagi membangkitkan perasaan marah orang ramai.

Dalam hubungan ini kata Perdana Menteri, isu arsenik yang ditimbulkan oleh Anwar itu juga sama seperti dakwaan isterinya, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, semasa Anwar ditahan dulu kononnya akan diberi suntikan HIV.

Menurut beliau, Anwar perlu memberi kerjasama untuk membolehkan ujian dijalankan bagi membuktikan kebenaran dakwaan keracunan arsenik.

Beliau berkata, ini kerana tuduhan itu turut menjejaskan imej kerajaan.

''Kini beliau tidak mahu membenarkan diri diperiksa untuk mengesahkan dakwaan keracunan arsenik. Saya percaya ada beberapa ujian, termasuk kuku, rambut dan sum-sum tulang, untuk mengenal pasti sama ada terdapat keracunan arsenik atau tidak,'' katanya.

Perdana Menteri turut ditanya mengenai saksi utama kes Anwar, Azizan Abu Bakar, yang telah ditangkap berkhalwat dan mengundang persoalan mengenai moral bagi seorang saksi.

Kata beliau: ''Semua orang mengikuti perkembangan dengan teliti, tetapi sekarang dia sudah kahwin. Tetapi segala-galanya akan dilakukan untuk memperkecilkan saksi itu.''

Terdahulu dalam ucapannya, Perdana Menteri gembira kerana Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kini telah dapat mengikis mentaliti penjajahan dalam sistem pentadbirannya.

Menurutnya, di zaman British, para pegawai kerajaan tidak dibenarkan bercampur-gaul dengan kakitangan bawahan kerana kononnya ia akan menjejaskan mutu kerja dan disiplin.

''Tetapi hari ini saya lihat sistem penjajahan dalam pentadbiran itu sudah runtuh sedikit demi sedikit, dan kita dapati ia tidak melemahkan pentadbiran. Saya gembira melihat perkara sedemikian berlaku,'' ujarnya.

Sempena perasmian itu, Dr. Mahathir turut mengambil peluang melawat gerai-gerai jualan yang diadakan sempena perasmian KGPA dan turut menerima kad keahlian kelab itu bernombor 2020.

Pada majlis itu, Dr. Mahathir turut menyampaikan hadiah Piala Perdana Menteri sempena Pertandingan Golf Persyarikatan Malaysia yang dijuarai oleh sektor awam.

Sektor awam diwakili oleh Presiden KGPA, Tan Sri Abdul Halim Ali yang juga Ketua Setiausaha Negara.

4 comments:

Cheguman 9 September 2009 at 23:55  

Itu cerita 10 tahun lalu. Kini, Anwar sedang menggunakan 1001 helah & muslihat untuk tidak dibicarakan walaupun Saiful sudah bersumpah.

1Agenda 9 September 2009 at 23:59  

bukti pengkhianatan Anwar kpd Agama, Bangsa & Negara. Waktu ini mungkin kita tidak sedar, cuma sekarang diharapkan jgn lagi ada yg mudah tunduk dan akur menerima segala auta pengkhianat ini.

PEJUANG CYBER 10 September 2009 at 00:01  

Rakyat Tidak Akan Lupa Sejarah Pembohongan Terbesar 16 September

Seperti yang dinyatakan oleh pelbagai pihak sebelum ini, tindakan tidak bertanggungjawab Anwar ini bukan sahaja membuang masa rakyat, penipuan terhadap penyokong, malah menyebabkan timbul pelbagai persepsi negatif
terhadap negara.

AnTi AljUbuRi 10 September 2009 at 00:32  

Sama ada sepuluh tahun dulu..20 tahun dulu .. itulah dia manusia hipokrit yang masih sama dan tegar!!

Mengikut kenyataan Sukma Darmawan, dia sudah menjadi mangsa kesongsang sex al juburi sejak tahun 1976/77 lagi, akhirnya Saiful menjadi mangsanya pada tahun 2008/ .. walapun selepas 30 tahun, peliwat masih tetap bergelumang dengan kejijikan!! Yang berani bersuara seperti Mior, Khairy, Azizan, Sukma dan Saiful mungkin beberapa orang dari jumlah yang sebenarnya...

Sesungguhnya Allah itu Maha Adil dan Maha Mengetahui, sehingga al juburi di jatuhkan dari tempat yang tinggi dengan penghinaan dan keaiban.

Hari ini dia tidak langsung membawa kebaikan, hanya kerusakan demi kerusakan dan kemusnahan kepada hidup yang sedang mencabar.

Allah senghaja mencabar minda manusia, supaya selamatlah orang yang melihat dengan mata hati dan binasalah mereka yang buta perut!!! Justeru Allah melagakan kebaikan dan kejahatan, sehingga akhirnya kebaikan pasti akan menang dan kejatan pasti akan kecundang !!

Meski pun 10 tahun aku mengikuti mereka, namun aku tidak pernah percaya dan terpengaruh dengan dakyahnya, malahan aku menjadi semakin sedar dan semakin faham akan tipu dayanya dan hari ini dhamir aku meyakini bahawa manusia jembalang ini mesti ditentang habis habisan!

Bangkai gajah tidak mungkin boleh ditutup dengan nyiru, lantaran itu dia melakukan apa sahaja demi menutup bangkai gajah, sekali pun kesetabilan negara, keharmonian kaum, keruntuhan akhlak dan moral, keamanan dan kemewahan hidup rakyat menjadi taruhannya. Namun dia tidak akan berjaya untuk menutup bangkai gajah itu sebaliknya kerusakan demi kemusnahan akan terus berlaku sekiranya dia dibiarkan bertindak mengikut perkiraannya.

Percayalah, sekali pun dia naik menjadi ketua negara, keamanan sudah dianggap hilang, dia dan kuncu kuncunya tidak akan dibiarkan memimpin negara ini tanpa penentangan yang berterusan !!!


Sila layari Channels N31

Blog Archive

  © Blogger templates 'Sunshine' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP