Tuesday, 29 September 2009

Pemuda Akan Jelajah Kawasan Termasuk Estet Di Bagan Pinang – Khairy



Putrajaya -- Pengerusi Pemuda Barisan Nasional (BN), Khairy Jamaluddin berkata pihaknya akan bergerak ke segenap pelusuk sehingga kawasan estet yang bermajoriti kaum India dalam usaha mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang.

Menurut beliau gerakan tersebut yang dilaksanakan atas platform Pemuda BN itu diharap mampu menterjemahkan sokongan yang tidak berbelah bagi kepada BN pada hari pengundian nanti.

“Kita berharap semua pemimpin BN juga mengambil tindakan sama kerana terdapat empat peti undi daripada lapan yang majoritinya kaum India, jadi kita perlu sokongan daripada parti yang mempunyai pemimpin daripada kaum itu.

"Saya sudah bermesyuarat dengan Pemuda MIC sebelum Aidilfitri lalu dan mereka bersetuju bekerjasama sebagai satu pasukan.
Beliau berkata demikian pada sambutan Rumah Terbuka Aidilfitri bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, di sini, Sabtu.

Bagan Pinang terletak dalam Parlimen Telok Kemang yang mempunyai lima kerusi DUN dengan tiga milik pembangkang, iaitu Chuah dimenangi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Lukut (DAP) dan Port Dickson (PKR), manakala satu lagi kerusi, DUN Linggi dimenangi BN.

Khairy yang juga Ketua Pemuda UMNO seterusnya berkata pilihan raya kecil kali ini sangat penting selepas kekalahan BN di beberapa pilihan raya kecil sebelum ini.

“Kerusi itu kerusi BN, terletak dalam negeri yang boleh dikategorikan sebagai negeri selamat berbanding Kelantan dan Permatang Pauh. Saya yakin kita mampu mempertahankan kerusi itu berdasarkan sokongan dan bantuan yang akan diberikan kepada BN," katanya.

Pada masa yang sama beliau turut memberitahu, Pemuda BN tidak mempunyai masalah untuk berdepan dengan pilihan raya kecil berkenaan.

“Jentera kita di Teluk Kemang adalah kuat dan bersatu untuk memastikan kemenangan BN kelak”, katanya.

Oleh S.A Najmuddin

3 comments:

BelokKiriKanan 29 September 2009 at 10:56  

Kalau di majlis-majlis anugerah seperti Anugerah Bintang Popular, orang ramai teruja untuk mengetahui siapakah pemenang anugerah di antara calon-calon yang terpilih, tetapi sebaliknya di Bagan Pinang orang ramai ternanti-nanti untuk mengetahui siapakah calon BN yang terpilih petang nanti. Calon yang terpilih sudah dianggap pemenang anugerah. Adakah Presiden Umno akan mendengar nasihat bekas Presiden Umno, Tun Mahathir atau pun mendengar pilihan akar umbi Umno di Bagan Pinang yang mahukan Tan Sri Isa sebagai calon BN, dan seterusnya sekiranya menang bakal dilantik menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan yang baru menggantikan Datuk Seri Mohamad Hassan? Tunggukan pengumumannya nanti...
Jangkaan calon: 90% TSI

BelokKiriKanan 29 September 2009 at 11:13  

Jangkaan calon: 90% TSI
Walaupun TSI pernah digantung parti akibat daripada rasuah politik, akar umbi Umno tidak pedulikan kes tersebut kerana beranggapan TSI teraniaya oleh konspirasi dalaman Umno untuk menjatuhkan beliau sedangkan pemimpin yang lain terlibat dengan politik wang tidak dihukum. Konspirasi dalaman dan pendakwaan terpilih adalah lumrah dalam Umno seperti juga yang telah berlaku kepada Datuk Seri Ali Rustam yang hampir memenangi jawatan timbalan presiden disebabkan pimpinan mahukan TS Muhyiddin. Begitu juga dengan DS Anwar Ibrahim yang ditendang akibat cuba merampas kuasa daripada Presiden parti. Apa pun tahniah untuk TSI!

Juwa 29 September 2009 at 12:18  

umno dah nazak sgt sampai dah tak ada calon yg sesuai lagi yg nak dipilih hinggakan yg kaki rasuah pun nak dipilihnya. ROSAK org melayu dibuatnya.


Sila layari Channels N31

Blog Archive

  © Blogger templates 'Sunshine' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP