Tuesday 29 September 2009

Calon BN akan diumumkan pada jam 4.30 petang ini


Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengesahkan terdapat lebih daripada satu nama calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang. Beliau berkata, pucuk pimpinan parti akan memutuskan nama calon BN bagi pilihan raya kecil itu hari ini atau esok. Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut mengenai senarai nama calon BN itu.

”Nama-nama (calon) kita sudah terima dan Presiden parti lebih awal terima daripada saya dan ini akan diputuskan hari ini atau esok sebelum saya mengumumkannya di Bagan Pinang pada pukul 4.30 petang esok.

”Apa-apa pandangan kita terima dengan hati terbuka tetapi apa-apa pun, seperti biasa dalam parti, kita buat keputusan bahawa apa sahaja keputusan pucuk pimpinan parti, ahli parti BN akan terima secara baik,” kata beliau.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri majlis Ramah Mesra Aidilfitri Kementerian Pelajaran di sini hari ini.

Hadir sama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Muhyiddin, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman.

Pilihan Raya Kecil DUN Bagan Pinang akan diadakan pada 11 Oktober ini berikutan kematian Allahyarham Azman Mohd. Nor pada awal September lalu di Hospital Pakar Seremban (SSH) kerana jangkitan dalam darah.

Azman yang mewakili BN memperoleh 6,430 undi dan menewaskan calon Pas, Ramli Ismail yang memperoleh 4,097 undi pada Pilihan Raya Umum Ke-12 tahun lalu dengan kelebihan 2,333 undi.

Kawasan DUN Bagan Pinang mempunyai 13,664 pengundi iaitu 62.77 peratus merupakan pengundi Melayu, 20.74 peratus pengundi kaum India, 10.96 peratus pengundi Cina dan 5.54 peratus kaum lain.

Dalam pada itu Muhyiddin berkata, usaha mempercepatkan proses pembaharuan yang diharapkan oleh rakyat terhadap Barisan Nasional (BN) adalah lebih penting berbanding memikirkan soal calon parti pada pilihan raya umum akan datang.

Katanya, proses transformasi di peringkat parti komponen berjalan agak lambat berbanding dalam kerajaan yang kini sudah dilihat kesannya.

Menurutnya, langkah mempercepatkan transformasi itu penting supaya rakyat tidak hilang keyakinan terhadap usaha pembaharuan yang dibuat oleh kerajaan.

”Agenda paling utama adalah bagaimana kita dapat dilihat bersedia melalui proses perubahan yang diharapkan berlaku dalam parti selepas kita menghadapi pilihan raya umum lalu, baik dalam UMNO, MCA, MIC atau lain-lain parti komponen BN.

”Jadi yang mustahak bagi saya ialah untuk dilihat secara jelas apa-apa pembaharuan atau perubahan yang mahu kita bawa,” katanya.


1 comments:

Juwa 29 September 2009 at 16:12  

Kalau umno pilih isa samad, mungkin umno boleh menang sbb undi pos dah ada +4k. Tapi dari segi moralnya, umno akan dicap parti yg ketandusan calon sampaikan calon yg karekter tercalar boleh terpilih sbg calon. Ini akan jadi kelebihan pada PR pada PRU13 nanti. Lepas PRU13 nanti, kita boleh umno hanya di muzium negara aje utk tatapi anak cucu nanti.


Sila layari Channels N31

Blog Archive

  © Blogger templates 'Sunshine' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP