Sunday 11 October 2009

Keselamatan pengundi terjamin

PORT DICKSON 10 Okt. - Pengundi di Bagan Pinang diminta keluar menunaikan tanggungjawab mereka pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) itu esok tanpa perlu ada rasa takut dan bimbang.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, pihak berkuasa terutama polis akan melakukan pemantauan bagi memastikan keselamatan pengundi terjamin.

Katanya, polis juga akan melakukan pemantauan secara dekat beberapa lokasi mengundi yang dikenal pasti.

"Yang penting rakyat di Bagan Pinang dapat memenuhi tanggungjawab mereka sebagai pengundi dengan rasa selamat dan dalam keadaan selesa tanpa digugat oleh mana-mana pihak.

''Ini merupakan satu tanggungjawab yang telah diletakkan ke atas bahu pihak polis. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga akan memainkan peranan mereka. Saya memang tegas tentang pekara ini dan saya sendiri juga akan turut memantau," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri bersama Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) di Kompleks Sukan Rakan Muda, Teluk Kemang di sini hari ini.

Menurut Hishammuddin, peraih undi serta penyokong kedua-dua belah parti dilarang sama sekali untuk berkumpul di kawasan mengundi bagi mengelakkan sebarang pertembungan.

''Perkara ini telah dipersetujui bersama dengan pihak SPR bahawa penyokong kedua-dua belah pihak tidak dibenarkan untuk berkumpul di depan tempat undi sejak di Manek Urai lagi.

''Itu akan kita tekankan kerana di situlah mungkin boleh menjadi pertembungan antara peraih undi. Ini bagi mengatasi berlakunya sebarang kejadian yang tidak diingini pada hari mengundi," kata beliau.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai perkembangan dakwaan Pemuda Pas dicederakan beberapa hari lalu serta penyebaran khimat pesanan ringkas (SMS) yang berbaur provokasi, beliau berkata, semua itu adalah satu pembohongan ekoran tiada laporan polis yang dibuat berhubung dakwaan tersebut.

''Sekiranya pekara itu benar sejak awal lagi mereka telah membuat laporan polis, namun saya difahamkan sehingga hari ini tiada siapa yang tampil untuk memberikan keterangan dan laporan dibuat.

''Ini menunjukkan insiden itu tidak berlaku. Ingin saya nyatakan kalau susah sangat, saya sendiri boleh bawa mereka buat laporan polis," katanya yang turut mempersoalkan motif penyebaran tuduhan itu. - Utusan

1 comments:

oyabun 11 October 2009 at 10:12  

SEMANGAT! SEMANGAT! SEMANGAT! HIDUP MELAYU! HIDUP MELAYU! HIDUP MELAYU! HIDUP BN! HIDUP BN!HIDUP BN!..INSYAALLAH BN AKAN MENANG! BN AKAN MENANG! ISLAM IS FOR ALL, NOT FOR PAS ONLY! ALLAHHUAKBAR! ALLAHHUAKBAR! ALLAHHUAKBAR!

  © Blogger templates 'Sunshine' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP