Tuesday 6 October 2009

Masa pastikan kemenangan

DAERAH Port Dickson di mana terletaknya Parlimen Teluk Kemang - di bawahnya ada Dewan Undangan Negeri (DUN) Chuah, Lukut, Port Dickson, Bagan Pinang dan Linggi - memang cukup tersohor.

Sebagai sebuah pusat peranginan terkenal, daerah ini saban minggu menerima ribuan pelancong. Kebanjiran orang luar ke sini bukan sesuatu yang asing kepada penduduknya. Malah ia merupakan antara punca pendapatan kepada sebahagian besar daripada mereka.

Ada yang mengusahakan rumah penginapan, kedai makan, gerai menjual cenderamata, kereta sewa dan sebagainya.

Seorang penduduk mengakui rezeki agak mudah di Port Dickson. Apa juga senario politik yang berlaku dalam negara, pelancong tetap datang ke daerah ini.

Malah apabila BN tewas di Parlimen Teluk Kemang dan tiga lagi DUN, ia tidak memberi kesan kepada kedatangan pelancong. Setiap hujung minggu, cuti umum dan cuti penggal persekolahan, pelancong akan membanjiri Port Dickson.

Bila ada pelancong, rezeki penduduk tidak menjadi masalah. Perniagaan berjalan lancar walaupun Parlimen Teluk Kemang dan tiga DUN milik pembangkang.

Kata penduduk tersebut, wakil rakyat pembangkang di kawasan ini tidak perlu bekerja keras. Segalanya sudah ada tersedia.

Kerajaan pula tidak boleh mengenepikan daerah ini begitu sahaja kerana potensi industri pelancongannya yang cukup besar.

Sebab itu tidak banyak isu setempat yang boleh diketengah atau dibangkitkan oleh Pas pada pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang.

Mereka lebih menumpukan kepada serangan peribadi calon seperti kempen "Tak Nak Isa" yang terpampang pada t-shirt yang dipakai penyokongnya pada hari penamaan calon kelmarin.

Itu merupakan strategi Pas. Strategi yang sama digunakan ketika berkempen di Permatang Pasir. Isu rasuah, politik wang dan isu luar seperti apa yang berlaku di Perak dan Terengganu akan dijaja sepanjang kempen ini.

Ini terbukti dalam ceramah pertama mereka kelmarin. Kisah silam Mohd. Isa diungkit dan dijaja. Oleh itu jentera BN kena berwaspada dan sentiasa dekat dengan pengundi.

Walaupun pembangunan tidak boleh lari daripada agenda kempen pada pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang pada 11 Oktober ini, aspek lain juga perlu diberi perhatian.

BN mungkin kelihatan menang di Bagan Pinang pada pilihan raya umum 2008. Tetapi hakikatnya ia ditolak di Port Dickson.

Sedangkan pada pilihan raya umum 2004 Parlimen Teluk Kemang dan DUN-nya 100 peratus milik BN.

Apa yang berlaku pada pilihan raya umum tahun lalu perlu dijadikan iktibar oleh BN.

Ini merupakan masa untuk memastikan kemenangan. Kekalahan di tujuh daripada lapan pilihan raya kecil sejak Mac tahun lalu perlu dijadikan pendorong untuk bekerja keras di Bagan Pinang.

Kesilapan yang berlaku terutama di Permatang Pasir perlu dipelajari dan tidak boleh diulangi di Bagan Pinang. Jentera BN juga tidak boleh terlalu bergantung kepada kekuatan dan populariti calon.

Seperti kata Tan Sri Muhyiddin Yassin, nama besar Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad merupakan satu ancaman kepada BN.

Ia boleh menyebabkan jentera parti leka dan lalai kerana merasakan nama Mohd. Isa sudah cukup untuk memberi kekuatan bagi menarik sokongan pengundi. Jangan lupa bahawa kedudukan BN di Bagan Pinang sebelum ini boleh dianggap sebagai 'bersendirian'.

Parlimen Teluk Kemang milik Parti Keadilan Rakyat (PKR). DUN Chuah dan Lukut milik DAP. DUN Port Dickson juga kepunyaan PKR. BN berjiran dengan musuh di sini. Sebab itu seperti kata Muhyiddin kelekaan akan membawa kekalahan.

Selain itu, jentera BN juga kena ingat akan kedudukan kerajaan negeri sendiri.

Andainya BN tewas di Bagan Pinang pada 11 Oktober ini, ia juga akan memberi kesan kepada kekuatan kerajaan BN negeri.

Sekarang BN hanya mempunyai kelebihan enam kerusi di DUN untuk memerintah. Jika gagal mempertahankan Bagan Pinang, ia hanya akan tinggal lima sahaja. Pada masa ini 21 kerusi DUN Negeri Sembilan milik BN dan 15 pembangkang. Kekurangan kerusi boleh menjejaskan kestabilan BN untuk memerintah. Apabila tidak kukuh, ia sukar memberikan khidmat yang terbaik kepada rakyat.

Sebab itu Muhyiddin dalam reaksi awalnya sebaik penamaan calon selesai meminta jentera BN tidak leka.

Ini bukan pilihan raya individu, tetapi pilihan raya parti. Dan ia perlu didokong oleh setiap ahli parti untuk memastikan kemenangannya.

Bagi penduduk di Port Dickson terutama di DUN Bagan Pinang, mereka sudah selesa dengan keadaan sekarang. Boleh dikatakan semua kemudahan sudah tersedia. Jika ada kekurangan sekalipun ia amat kecil

Keadaan ekonomi di sini baik dengan saban minggu ada saja pelancong yang datang. Rungutan yang timbul hanya membabitkan isu-isu kecil.

Mungkin apa yang mereka perlukan ialah pemimpin yang dekat dengan mereka dan pemimpin yang memahami jiwa mereka.

Pemimpin yang mereka boleh bergantung dan boleh mengadu jika timbul isu-isu yang membabitkan kepentingan mereka.

Adalah menjadi tanggungjawab jentera BN untuk menyakin pengundi di sini bagi memastikan bahawa Mohd. Isa merupakan pemimpin terbaik untuk mereka.

Mohd. Isa memang dikenali di kalangan pengundi di sini. Tetapi adakah itu satu jaminan untuk kemenangan?

Apakah sejarah 22 tahunnya sebagai menteri besar merupakan bakal memberi laluan mudah kepada BN? Adakah sejarah silamnya dalam UMNO tidak memberi kesan kepada kedudukan BN di Bagan Pinang?

Semuanya perlu diambil kira dalam setiap percaturan kempen oleh jentera BN.

Jangan hanya bergantung kepada populariti sahaja. Populariti tanpa usaha keras tidak akan memberikan kemenangan. Nama besar Mohd. Isa bukan jaminan 100 peratus untuk menang. Ia perlu disertai dengan kerja keras semua pihak.

Setakat ini, Mohd. Isa memang mendapat sambutan dan tepukan gemuruh pada setiap majlis yang dihadirinya.

Tetapi itu bukan bermakna jentera parti yang datang berbondong-bondong dari seluruh negara boleh berehat santai sambil menikmati keindahan pantai dan deruan ombak Port Dickson.

Ini bukan masa untuk bersantai. Tetapi masa untuk pastikan kemenangan BN dan mengembalikan maruah BN sebagai parti pilihan rakyat.

Jentera BN kena pastikan sambutan dan tepukan itu diterjemahkan melalui undi pada 11 Oktober ini. Jangan hanya menang sorak tetapi kampung tergadai.

PENULIS ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia - Utusan Malaysia


0 comments:


Sila layari Channels N31

Blog Archive

  © Blogger templates 'Sunshine' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP