Monday 5 October 2009

Bila rakyat berfikiran jumud - Dukun dakwa tarikh lahir Presiden bawa bencana


JAKARTA - Sesetengah rakyat Indonesia menyalahkan nasib malang Presiden Susilo Bambang Yudhoyono dan bukannya pergerakan kerak bumi sebagai punca gempa bumi kuat melanda wilayah Sumatera Barat pada Rabu lepas.

Susilo yang popular dengan singkatan SBY kerap dipersalahkan berhubung bencana dan tragedi di Indonesia termasuk ombak besar tsunami yang membunuh 220,000 di rantau Asia selepas beliau memenangi pilihan raya Presiden pada 2004.

Susulan pelbagai bencana yang menimpa Indonesia sejak beliau memerintah, penduduk tempatan menggelarkan singkatan SBY sebagai 'Selalu Bencana Ya'.

Tanggapan bahawa SBY bernasib malang semakin tersemat di hati rakyat selepas bencana terbaru yang dipercayai membunuh lebih 1,000 orang berlaku pada Rabu lepas.

"Jika dilihat pada tarikh lahirnya, SBY akan sentiasa menarik bencana ke atas Indonesia, ia berpandukan kitab Primbon (sebuah kitab ilmu mistik Jawa)," kata seorang ahli politik veteran, Permadi yang turut mengamalkan ilmu perdukunan.

"Lihatlah tarikh lahirnya, 9 hari bulan 9 yang membawa pada jumlah 49 jika didarabkan. Angka itu membawa malang," tambahnya yang merupakan anggota parti Gerindra yang menjadi pembangkang.

Jelas Permadi, bencana lebih besar pasti akan menimpa Jakarta sekiranya Susilo kekal sebagai Presiden Indonesia.
Walaupun tahyul, tanggapan itu telah mempengaruhi ramai penduduk sehingga Susilo terpaksa menerangkan kepada sekumpulan pemimpin di Sumatera Barat bahawa gempa bumi berpunca akibat ketidakstabilan kerak bumi dan bukan dirinya selepas wilayah itu dilanda gempa bumi dua tahun lalu.
KLIK


Macam-macam cara manusia untuk mendapatkan sokongan mudah, apa lagi bila dikelilingi juga sebilangan penyokong jumud yang mudah yakin dengan ketahyulan serta hidup dalam serba ketinggalan masa, dungu dan tidak berilmu.

Apatah lagi, bila ada manusia seperti Permadi dari parti Gerindera ini, yang pandai mengambil kesempatan diatas kelemahan-kelemahan yang ada pada masyarakat. Demi kepentingan politik dan kuasa, Permadi begitu mudah membuat andaian tahyul seperti itu untuk menipu masyarakat yang terlalu yakin dengan ramalan berpandukan kitab-kitab seperti itu.

Kerana kejumudan, maka manusia yang berkepentingan ini sanggup mengenepikan hukum-hukum alam serta kebesaran Allah SWT. Begitulah kerakusannya manusia untuk memiliki jawatan dan kuasa, jawatan dan kuasa yang tidak mampu diperolehi melalui pemilihan rakyat, maka dakyah tahyul seperti ini menjadi landasan untuk mendapatkannya.

Sepatutnya, pemimpin ini lebih memberi kerjasama dengan Presiden untuk mengatasi bencana yang menimpa Negara mereka, dari mengambil kesempatan mendakyah perkara-perkara tahyul dan syirik.

Sikap manusia seperti ini, tidak kurangnya juga bilangannya di Malaysia, terutama dari kalangan pembangkang. Cuma caranya sahaja yang berbeza……..

0 comments:


Sila layari Channels N31

Blog Archive

  © Blogger templates 'Sunshine' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP