Tuesday 6 October 2009

Bandar Tentera Darat : Memberi 'nafas baru' pada PD

TANGGAL 29 September 2009 pasti tercatat dalam lipatan sejarah Angkatan Tentera Malaysia (ATM) apabila salah satu cabang pasukan itu, Tentera Darat Malaysia mendapat pengiktirafan yang cukup bermakna.

Ia bersempena pengisytiharan Port Dickson yang terkenal dengan kawasan peranginannya sebagai Bandar Tentera Darat.

Ketika membuat pengumuman itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang pernah ditugaskan selama 14 tahun sebagai Menteri Pertahanan berkata, langkah itu dilakukan bagi mengenang jasa serta mengiktiraf para perajurit negara dan ATM yang banyak melahirkan rekrut tentera profesional.

Serentak itu, Najib berjanji kerajaan akan melaksanakan beberapa projek untuk memberi makna dan pengertian kepada pengisytiharan Port Dickson sebagai Bandar Tentera Darat.

Tugas membuat cadangan itu diserahkan kepada Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Panglima ATM.

Sememangnya dalam keadaan jasa dan pengorbanan anggota tentera tidak lagi begitu diingati oleh sesetengah pihak atau semakin tipis di kalangan rakyat, kerajaan telah membuat keputusan yang tepat.

Sesungguhnya sejak tahun 1933, apabila Port Dickson dipilih sebagai penempatan kem Angkatan Tentera Melayu dan Maktab Tentera Persekutuan yang dinamakan Kem Si Rusa, daerah itu dan anggota tentera seolaholah tidak dapat dipisahkan.

Pergilah ke mana ceruk sekali pun, kita akan bertemu dengan anggota tentera yang bertugas dan ditempatkan di kem-kem berkenaan. Ini sekali gus secara tidak langsung membangkitkan rasa selamat di kalangan orang ramai.

Namun pengisytiharan Port Dickson sebagai Bandar Tentera Darat tidak boleh terhenti sekadar pengisytiharan sahaja. Ia harus direalisasikan dalam bentuk tindakan atau perubahan yang dilihat mampu untuk membuatkan anggota tentera darat berasa dekat dengan pengisytiharan berkenaan.

Oleh itu, satu perancangan yang cukup rapi perlu dilakukan oleh Kementerian Pertahanan untuk mencadangkan kepada kerajaan apa yang seharusnya dilakukan bagi memperlihatkan Port Dickson adalah Bandar Tentera Darat.

Untuk permulaan, mungkin boleh meminta semua resort, hotel, motel, calet atau rumah tumpangan di daerah berkenaan memberikan potongan harga menarik kepada semua anggota tentera darat.

Potongan ini bukan sahaja kepada anggota yang bertugas di Port Dickson malah seluruh negara. Mungkin cadangan ini nampak remeh tetapi ia boleh menjadikan lambang bahawa selama ini segala aktiviti pelancongan dapat berjalan dengan lancar kerana adanya keamanan.

Situasi keamanan itu wujud berikutan pengorbanan anggota tentera di samping pasukan keselamatan yang lain. Oleh itu bukanlah keterlaluan kalau mereka diberi sedikit keistimewaan di 'bandar mereka sendiri'.

Kita yakin pengusaha-pengusaha terlibat tidak akan keberatan untuk berbuat demikian sebaliknya mereka pasti berbangga kerana mampu menyumbangkan sesuatu sebagai penghargaan kepada anggota tentera.

Selain itu, Port Dickson selepas ini harus menjadi lokasi utama sambutan hari tentera darat. Bagi menanamkan perasaan cinta dan menghargai pasukan itu, pada hari tersebut diadakan perarakan besar-besaran.

Perarakan berkenaan selain menjadi medan bagi tentera darat mempamerkan keupayaannya, ia juga boleh menarik perhatian generasi muda menyertai pasukan tentera.

Melalui langkah itu, sudah tentulah tentera darat akan lebih dihormati dan dikenali oleh rakyat dan sekali gus akan menyedarkan mereka betapa pentingnya sumbangan pasukan berkenaan.

Seperti kata Najib, pengalamannya memimpin Kementerian Pertahanan merupakan sesuatu yang manis sehingga menyedarkan beliau bahawa pengorbanan mereka terlalu besar kepada negara.

Selaras dengan pengisytiharan itu juga, mungkin kerajaan boleh menimbang mewujudkan satu institusi latihan ketenteraan yang lebih elit bagi melahirkan perwira-perwira negara yang berilmu.

Institusi ini mahu tidak mahu harus diletakkan setaraf dengan akademi tentera seperti Sandhurst di United Kingdom atau Westpoint di Amerika Syarikat. Ia bermakna apabila mana-mana pegawai tentera darat dilahirkan daripada institusi ini, mereka akan dipandang tinggi di peringkat antarabangsa.

Selain itu, kerajaan mungkin boleh mempertimbangkan menghiasi bandar Port Dickson dengan wajah-wajah pahlawan-pahlawan tentera darat. Paparan wajah ini adalah penting untuk menyedarkan orang ramai bahawa kesenangan dan keamanan yang mereka nikmati adalah hasil pengorbanan keringat, air mata dan darah perwira-perwira negara.

Malah bukan sesuatu yang melampau, kalau di pintu-pintu masuk ke Port Dickson didirikan pintu-pintu gerbang yang mengalu-alukan kedatangan dan mengingatkan orang ramai dan pelancong bahawa mereka kini memasuki Bandar Tentera Darat.

Pada masa ini, laluan masuk ke Port Dickson lebih banyak dihiasi dengan papan tanda hotel-hotel, apa salahnya diletakkan juga namanama institusi tentera yang ada di situ.

Mungkin ada antara kita merasakan tidak perlu untuk berbuat demikian. Namun memetik kata-kata Najib, bukanlah sesuatu yang keterlaluan jika kejayaan ATM, disebut berulang kali. Ia memandangkan ada di kalangan orang ramai yang tidak tahu mengenai pencapaian ATM apatah lagi mengenang pengorbanan mereka.

Turut harus diberi perhatian oleh kerajaan ialah untuk memastikan segala kemudahan dan kelengkapan bagi anggota tentera yang menjadi warga Port Dickson berada dalam keadaan sempurna.

Langkah itu penting bagi mengelakkan jangan sampai apabila sesuatu berlaku atau dilihat oleh pihak luar, mereka menganggap pengisytiharan Bandar Tentera Darat hanyalah sekadar retorik.

Justeru perancangan yang cukup rapi perlu dilaksanakan bagi memastikan pengisytiharan berkenaan benar-benar memberikan kesan dan faedah bukan sahaja kepada anggota tentera darat tetapi juga orang ramai.

Mungkin selepas ini banyak lagi langkah-langkah pengiktirafan terhadap anggota ATM dilakukan di kawasan-kawasan yang menjadi penempatan mereka di seluruh negara terutama kawasan tentera popular seperti di Kem Terendak, Melaka dan Kem Grup Gerak Khas di Sungai Udang, Melaka.

Apa pun tafsiran atau andaian yang dibuat oleh pihak-pihak tertentu mengenai pengisytiharan Port Dickson sebagai Bandar Tentera Darat namun ia membuktikan keprihatinan kerajaan dalam menghargai pengorbanan anggota tentera kita.

Masanya sudah tiba di saat kita menikmati pelbagai kejayaan, kesenangan dan ketenteraman, pengorbanan pasukan tersebut tidak harus dilupakan. Siang dan malam, mereka bertugas bagi melindungi keselamatan negara, oleh itu adalah wajar langkah-langkah lebih proaktif dilakukan bagi mengiktiraf jasa-jasa Tentera Darat, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia.

Semoga pengiktirafan kerajaan kepada Tentera Darat di Port Dickson akan membangunkan sesetengah pihak daripada mimpi mereka untuk memahami bahawa tanpa tentera, mereka tidak akan sejahtera. - Utusan


2 comments:

amiersyakir 6 October 2009 at 02:57  

engko orang ni biar betul..nak buat bandar tebtera darat pulak...jambatan yang kerajaaan nak buat di kelantan dari tahun Tun pak lah pecah tanah sampai sekarang tanah yang pecah tu pun dan bersambung semuala...hang pa ni kene le pikir sikit...aku malu lah kalau macam ni....

kita anak melayu 6 October 2009 at 08:16  

Lepas tu kita namakan Lumut bandar Tentera Laut, Bukit Pelandok bandar Babi, Genting Higlang bandar Kasino. JGN buat kerja bodo lah Najib. Rakyat sengsara sbb harga barang naik. Selesaikan masalah tu dulu.


Sila layari Channels N31

Blog Archive

  © Blogger templates 'Sunshine' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP