Friday 11 September 2009

UMNO ADALAH PARTI ISLAM SEBENAR

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, Umno adalah sebuah parti Islam yang sebenar walaupun ia tidak menggunakan label Islam dalam membela dan merancang pembangunan umat Islam dan negara ini.

Katanya, Umno sememangnya membela dan menaikkan taraf hidup umat Islam dengan membasmi kemiskinan menerusi pelbagai program kerajaan terutamanya menerusi rancangan Felda.

"Dalam Islam, kemiskinan itu menghampiri kekufuran dan Umno sejak 53 tahun yang lalu berusaha membasmi kemiskinan di kalangan umat Islam dengan membuka tanah rancangan Felda dan adakah ini bukan tuntutan Islam?," katanya ketika menghadiri majlis Rahmat Ramadan di Felda Teloi Timur di sini, hari ini.

Beliau berkata, kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinan Umno membangunkan negara ini bagi melahirkan umat Islam yang dihormati dan bermaruah dengan pembangunan negara, teknologi dan ketenteraan yang termaju.

"Kita tidak perlu label "membangun bersama Islam" kerana kita sudah lama memperjuangkan Islam dan telah memberi keselesaan hidup kepada umat Islam kerana kita tidak mahu umat Islam miskin dan tidak ada kekuatan," katanya.

Perdana Menteri juga berkata, Islam juga menuntut perubahan umatnya daripada yang baik kepada lebih baik dan itulah yang dilakukan oleh Umno.

"Kita sentiasa membela nasib rakyat daripada yang baik kepada lebih baik, jika dulu kita bermula dari Lurah Bilut (Felda Lurah Bilut) daripada golongan yang tidak mempunyai tanah kepada golongan yang mempunyai tanah sebanyak 10 ekar.

"Secara kebetulan ayah saya (Tun Abdul Razak) yang menubuhkan Felda, dia berjalan dengan tongkat dan bush jaket beratus-ratus batu semata-mata untuk memberi tanah dan membasmi kemiskinan rakyat," katanya.

Najib juga berkata, umat Islam haruslah mengambil iktibar dengan pelbagai peristiwa kemenangan Islam dalam bulan Ramadan termasuklah peristiwa perang Badar.

"Bulan Ramadan membentuk peribadi dan kekuatan untuk kejayaan Islam dan tidak ada sebab kita tidak boleh berjaya jika kita berusaha," katanya.

Pada majlis itu, Najib bersama isteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan pemimpin Umno negeri berbuka puasa bersama kira-kira 5,000 peneroka Felda dari Kedah dan Perlis.

Perdana Menteri kemudiannya menyampaikan duit raya dan bantuan khas kepada peneroka Felda berkenaan. - Bernama

1 comments:

Pemuda Telok Kemang 11 September 2009 at 17:50  

UMNO adalah parti yang terbaik dalam memperjuangkan Islam di Malaysia. Lebih-lebih lagi sekarang ini- apabila PAS bersekongkol dengan parti DAP dengan manifesto "Islamic State? Over my dead body!".

Ini jelas terbukti apabila di Perak bekas Menteri PAS Nizar menyatakan didalam dewan undangan yang mengatakan bahawa mendirikan negara Islam tidak pernah menjadi manifesto atau aspirasi PAS.

Untuk parti yang mempunyai membawa perkataan "Islam" dalam nama parti itu sendiri, PAS nampaknya seperti niat lain, cakap lain dan buat lain.


Sila layari Channels N31

Blog Archive

  © Blogger templates 'Sunshine' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP