Monday 7 September 2009

PRK Bagan Pinang : PAS mula main isi pengundi Pos



Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) belum pun bermesyuarat bagi memutuskan tarikh pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang tetapi PAS sudah memulakan perang psikologi untuk berdepan pilihan raya tersebut.

Jika sebelum ini, pembangkang mengaitkan pengundi hantu jika mereka kalah tetapi bagi pilihan raya kecil di DUN dalam parlimen Teluk Kemang itu, PAS bersiap sedia dengan alasan tidak mempercayai undian pos pula.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sendiri sudah membangkitkan perkara itu dengan alasan mereka meragui undi pos kerana menganggap undi pos oleh askar dan polis tidak diberikan kebebasan dalam mengundi.

"Inilah sebabnya kenapa undi pos sentiasa dianggap undi yang kotor," katanya seperti dilaporkan portal rasmi parti itu.

Pada pilihan raya umum lalu, calon PAS, Ramli Ismail kalah kepada Azman Mohd Nor dengan 2,333 undi.

Faktor utama kemenangan calon BN adalah kehadiran kira-kira 5,000 pengundi pos Tentera Darat di kawasan yang mempunyai kira-kira 14,000 pengundi itu.

Mereka adalah dari Pusasda Kem Si Rusa (1,903 undi), 2 KAD Kem Sunggala (1,130 undi), IJED Kem Kg Sawah (847 undi), IPDA Port Dickson (407 undi), 1 Kompeni KPD Kem Si Rusa (265 undi), 1 WKSP Bgd Kem Sg Sawah (165 undi), Sekolah Pertukangan Perintis (105 undi) dan ILMI Port Dickson (103 undi).

Dalam pilihan raya 2008, Bagan Pinang mempunyai 14,192 pengundi berdaftar.

Sebanyak 66 peratus darinya Melayu, 10.5 peratus Cina, 19.9 India dan 3.5 peratus bangsa-bangsa lain.

Tuduhan PAS kononnya undi pos memihak kepada BN tidak logik sama sekali.

Lihatlah keputusan pilihan raya umum lalu apabila pembangkang menang mengejut di beberapa kawasan termasuk menawan Selangor, Perak, Pulau Pinang dan Kedah.

Di negeri-negeri tersebut juga terdapat undi pos oleh polis serta tentera yang telah membantu kemenangan calon PKR, DAP dan PAS.

Di Bagan Pinang, walaupun PAS kalah disebabkan undi pos tetapi calon mereka masih memperolehi 1,189 undi pos daripada 5, 191 kertas undi yang dikeluarkan. Calon BN mendapat 3,080 undi.


Hadi tidak boleh semberono dengan pemikiran bahawa undi pos adalah undi yang kotor sebaliknya harus percaya kebebasan setiap pengundi sama ada polis mahupun tentera membuang undi.

Jelaslah, soal undi pos ini sengaja dibangkitkan PAS sebagai persediaan ‘bertarung’ di Bagan Pinang.

Itupun jika pakatan pembangkang bersekutu menyerahkan kerusi itu kepada PAS kerana Ketua Angkatan Muda PKR Telok Kemang dalam kenyataannya sudah menuntut agar kerusi itu ditandingi oleh PKR.

Isu undi pos ini pasti akan dijaja pembangkang sebagai modal kempen jika BN dapat menampilkan calon yang bersih daripada sebarang skandal atau terbabit kesalahan undang-undang.

Jika ini ada, mereka pasti akan mengambil kesempatan menyerang peribadi calon sama seperti dilakukan terhadap calon BN di Permatang Pasir, Rohaizat Othman.

Dalam erti kata lain, BN harus sedar perangkap yang sudah dipasang pembangkang sebelum kempen sebenar bermula.

Selain dua perangkap ini, BN pasti akan lebih bersedia di Bagan Pinang dengan mengambil iktibar punca kekalahan dalam beberapa pilihan raya kecil sebelum ini.

Lagipun, Bagan Pinang ada kawasan yang dimenangi BN dengan majoriti besar dan kejayaan itu harus dikekalkan.

Bagan Pinang mempunyai sembilan daerah mengundi iaitu empat majoriti India, empat kawasan Melayu dan campuran Cina serta undi pos.

Dalam pilihan raya lalu, PAS hanya menang di tiga daerah mengundi iaitu Ladang Atherton, Pekan Siliau dan Sua Betong. Ketiga-tiga kawasan itu adalah majoriti pengundi India.

Bagi pilihan raya kecil ekoran kematian Azman pada Jumaat lalu. SPR dijangka bermesyuarat sebelum Aidilfitri bagi menetapkan tarikh pilihan raya kecil Bagan Pinang.

Kemungkinan besar penamaan calon pada 1 Oktober manakala tarikh pengundian pada 10 Oktober.

Ini bagi mengelak pertembungan tarikh Perhimpunan Agung UMNO dan sidang sesi Parlimen dan dijadualkan bermula 19 Oktober. Sesi kali ini dijangka panjang termasuk pembentangan Bajet 2010.-

Sumber Agenda daily

0 comments:


Sila layari Channels N31

Blog Archive

  © Blogger templates 'Sunshine' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP