Monday 7 September 2009

Karut kalau hanya Pas masuk syurga

BANYAK yang boleh dipertikaikan tentang dakwaan Pas bahawa orang yang memilih parti itu boleh masuk syurga. Ertinya hanya dengan memilih Pas sahaja satu-satunya peluang orang Islam masuk syurga. Terang-terangan ini suatu penipuan. Tiap orang sebenarnya boleh berfikir dengan tenang dan merujuk semula akan hukum-hukum Islam. Parti Pas hanya ada di Malaysia. Kita bertanya kepada mereka: Adakah orang Malaysia sahaja yang boleh masuk syurga? Bagaimana orang lain, kerana di negara mereka tidak ada Pas?

Pas pun tidak menubuhkan partinya selain dari di Malaysia sahaja. Bagaimana orang di Mekah dan di Madinah hendak masuk syurga? Sedangkan Mekah negeri yang nabi dilahirkan dan Madinah negara Islam yang mula dibina oleh baginda? Orang di negara-negara lain pula semuanya masuk nerakalah, kerana di negara tiada Pas?

Ini menunjukkan bahawa dakwaan Pas adalah karut belaka. Rakyat juga patut bertanya benarkah kalau pilih Pas semuanya masuk syurga? Adakah orang-orang bukan Islam yang memilih Pas juga masuk syurga? Ini suatu kenyataan yang tidak sahih dan tidak ada dalam pengajaran Islam. Kalaulah Pas tubuhkan partinya di Rusia dan orang Rusia yang tidak ada agama itu pilih Pas, adakah masuk syurga? Kalau jawapan 'ya' bermakna orang yang tidak ada agama pun boleh masuk syurga kalau pilih Pas. Kalau begitu andaiannya tidaklah ada beza beragama dan orang tak beragama. Dan tak adalah beza antara satu agama dengan yang lain. Sedangkan dalam al-Quran jelas Allah mengatakan bahawa yang diterima hanyalah Islam (rujuk surah Al-Imran 85).

Agama Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad telah menyatakan bahawa orang-orang yang dimasukkan ke dalam syurga adalah orang yang beriman dengan Allah dan Rasul-Nya. Satu perkara yang patut diingat ialah perbezaan parti dan agama. Parti politik walau atas apa nama sekali pun, ia adalah bersifat sebagai pertubuhan. Ia bukan agama dan ia bukan akidah. Kalau dikatakan bahawa parti itu agama maka semua yang dilakukan oleh parti itu adalah suruhan agama. Jika ahli-ahlinya tidak patuh maka berdosa ia. Misalnya kalau diadakan mesyuarat cawangan dan ada ahli yang tidak dapat hadir, adalah dia berdosa? Ini tidak benar, kerana hadir mesyuarat urusan dunia. Tidak ada nas mengatakan wajib hadir mesyuarat.

Atau satu contoh lain. Kalau parti syaratkan ahli mesti serban hitam atau putih, tiba-tiba ahlinya pakai songkok, adakah ahli itu berdosa kerana melanggar arahan parti? Ini tidak benar kerana tiada nas yang mengatakan berdosa pakai songkok. Daripada contoh-contoh tadi jelas bahawa parti bukannya agama. Natijahnya, tidak batal akidah kalau tidak memilih suatu parti berlambang Islam atau memilih parti lain.

Satu lagi perkara yang selalu dikelirukan ialah pilih UMNO atau pilih Islam. Ini adalah perangkap yang dipasang oleh orang-orang yang suka menyelewengkan akidah. Di dalam pilihan raya, yang bertanding adalah parti, bukannya agama. Misalnya parti UMNO, Pas, Keadilan dan sebagainya. Rakyat bukan disuruh pilih agama atau Islam. Pengundi hanya diminta pilih parti. Sekali lagi kita lihat bahawa yang bertanding bukanlah agama Islam tetapi parti.

Mereka berdalih sama ada pengundi mahu Islam atau tidak. Sebenarnya apa yang diperjuangkan UMNO adalah sesungguhnya agama Islam. Mereka beri kata dua kepada pengundi pilih UMNO atau dengan maksud bahawa UMNO itu tidak Islam. UMNO mereka katakan tidak memperjuangkan Islam. Tuduhan itu adalah semata-mata fitnah yang tidak berasas sama sekali. Pada hakikatnya UMNO sejak ditubuhkan lagi telahpun memperjuangkan Islam.

UMNO sebagai tonggak dalam kerajaan telah merancang dan melaksanakan berbagai projek membangunkan Islam di negara ini. Ia bermula daripada bidang pendidikan sekolah rendah hingga ke pusat pengajian tinggi. UMNO juga melalui kerajaan mengislamkan berbagai sektor seperti perbankan, pentadbiran dan juga bidang ekonomi yang lain. Rakyat boleh bertanya semula kepada mereka: 'Apakah membasmi kemiskinan dan meningkatkan taraf ekonomi bukan tuntutan Islam? Sedangkan al-Quran menyatakan, siapa yang tidak hiraukan fakir miskin dianggap pendusta agama. Apakah memberi minum orang ramai dengan membuat empangan air itu tidak dituntut dalam Islam? Sedangkan Rasulullah memberi minum anjing yang kehausan pun dapat masuk syurga.

Apakah membuat lebuh raya memudahkan perjalanan itu dituntut oleh Islam? Sedangkan membuang duri di jalan pun dapat pahala. Apakah mengawal keselamatan rakyat daripada segala bencana itu tidak dituntut di dalam Islam? Apakah mendirikan beribu-ribu masjid dan surau untuk kemudahan beribadat itu tidak disuruh oleh Islam? Apakah mencegah jenayah dan maksiat itu tidak dituntut oleh Islam? Kesemua bukti apa yang dijalankan oleh kerajaan itu tidak dapat dinafikan. Kesimpulannya, akidah tidak boleh disamakan dengan parti. Parti politik itu pula bukannya agama. Agama Islam memang diperjuangkan oleh parti seperti apa yang telah dilakukan oleh UMNO. Ini bererti memilih UMNO adalah memilih parti yang memperjuangkan Islam, kerana buktinya telah ada di depan mata.

0 comments:


Sila layari Channels N31

Blog Archive

  © Blogger templates 'Sunshine' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP