Wednesday 9 September 2009

Adakah Kita Perlu Mengambil Tindakan Yang Sama Apabila Melihat Gambar Ini!














SEKUMPULAN lelaki Indonesia mengadakan sekatan jalan haram sambil memegang sepanduk `Maaf Jalan Anda Terganggu : Sweeping Orang Malaysia’’ di Jakarta semalam. Dalam sekatan itu mereka menyoal pemandu dan penumpang seandainya mereka warga Malaysia. – AFP.

Rakyat Indonesia di negara ini menyifatkan provokasi pihak tertentu di republik itu sebagai satu tindakan terdesak yang kurang bijak dan tidak bertamadun. Menurut mereka, sejarah rumpun Melayu yang berkongsi bahasa, budaya serta adat sejak ribuan tahun lalu perlu dihayati kembali agar sejarah hitam yang pernah tercetus tidak akan berulang.

Razak Mawardi, 22, dari Riau berkata, provokasi dan ancaman yang dicetuskan itu sebenarnya tidak menggambarkan senario keseluruhan pendapat rakyat di republik itu.
Katanya, isu tersebut tidak perlu disensasikan kerana sudah jelas kedua-dua negara mempunyai kaitan sejarah serumpun yang sama dan tidak perlu dipertikaikan.''Saya rasa isu itu tidak wujud sama sekali. Ini mungkin tindakan sesetengah pihak atau individu tertentu yang mempunyai kepentingan untuk cuba mengalihkan perhatian rakyat.
''Lagipun sejarah telah membuktikan bahawa kedua-dua negara adalah serumpun dan banyak berkongsi kebudayaan, bahasa malah agama yang sama,'' katanya ketika ditemui di Masjid Jamek di sini hari ini.

Razak diminta mengulas laporan agensi berita asing mengenai sekumpulan 486 sukarelawan di Indonesia yang mempersiapkan diri kononnya untuk berperang dengan Malaysia.Dua hari lalu, penyelaras kempen anjuran Kumpulan Pemuda Nasionalis Bendera, Mustar Bonaventura memberitahu agensi berita AFP, sukarelawan itu telah menyimpan stok makanan, ubat-ubatan termasuk senjata seperti pedang samurai bagi menghadapi kemungkinan perang.

Tindakan itu diambil ekoran tuduhan Malaysia mencuri Tarian Pendet yang berasal dari Bali yang dilemparkan oleh media massa Indonesia terhadap Malaysia.Malaysia turut menjadi sasaran beberapa demonstrasi di Jakarta kerana tuduhan itu walaupun pihak kedutaan telah memberikan penjelasan bahawa satu klip video 30 saat yang menyelitkan sekilas Tarian Pendet dibuat oleh syarikat swasta di Singapura dan tiada kaitan dengan pihak Malaysia.

Sementara itu seorang pembantu kedai, Yanti Puteri Sikumbang, 24, yang berasal dari Sumatera Utara berkata, tindakan dan ancaman perang itu bukan merupakan tindakan bijak.Katanya, mungkin terdapat isu atau perkara yang tidak diselesaikan dengan baik sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan ahli kumpulan tersebut.Namun, katanya, banyak ruang yang boleh digunakan untuk menyelesaikan isu berbangkit dan diselesaikan secara aman, berbanding menggunakan tindakan kekerasan yang ternyata tidak praktikal dan bertamadun.

''Saya sama sekali tidak bersetuju dengan provokasi dan ancaman perang yang cuba dibuat oleh kumpulan tertentu yang sebenarnya tidak senang dengan hubungan serumpun kedua-dua negara sejak sekian lama.''Tindakan yang dibuat itu lebih bersifat peribadi kerana sebarang isu atau masalah antara kedua-dua negara sebelum ini pasti akan dapat diselesaikan dengan baik melalui rundingan,'' ujarnya.

Dalam pada itu, seorang peniaga, Anne Ismail, 33, yang berasal dari Dumai berkata, provokasi dan ancaman tersebut tidak perlu dipandang serius dan ia hanyalah retorik semata-mata.Katanya, tindakan kumpulan tersebut semata-mata cuba menarik perhatian ramai yang akan dapat meningkatkan sokongan terhadap mereka.

''Kebiasaannya sebarang isu yang berbangkit antara dua negara berjiran ini yang berkongsi banyak persamaan seperti bahasa, budaya dan juga agama pasti akan dapat diselesaikan oleh kebijaksanaan pemerintah kedua-dua negara melalui jalan rundingan.
''Justeru saya berpendapat isu ini tidak berasas dan tindakan serta ancaman dibuat itu hanyalah sekadar untuk meraih populariti,'' jelasnya yang telah mendirikan rumah tangga dengan seorang lelaki tempatan.

Bagi Suci Eltrianti Ahamad, 36, dari Sulawesi, provokasi tersebut adalah cetusan kumpulan-kumpulan baru di Indonesia untuk mendapatkan sokongan kumpulan lebih besar.
Menurutnya, kumpulan ini akan membangkitkan apa juga isu yang berpotensi untuk mendapat perhatian rakyat yang secara tidak langsung akan menyokong perjuangan mereka.

''Kumpulan-kumpulan baru ini biasanya akan cuba menarik perhatian ramai dengan perjuangan yang cuba dibawa oleh mereka lalu membangkitkan isu yang mampu mempengaruhi tindakan rakyat.''Bagaimanapun, saya berkeyakinan sebarang isu dua hala yang timbul ini akan dapat diatasi jika ruang perbincangan antara dua pihak diusahakan secepat mungkin,'' katanya.

Seorang lagi rakyat Indonesia, Budirman Sukiman, 25, dari Jawa Barat pula menjelaskan, tindakan perang seperti yang dicanang itu tidak mungkin terjadi dalam keadaan hubungan erat antara dua negara berjiran.''Sukar untuk menjelaskan apa motif sebenar tindakan kumpulan tersebut untuk melancarkan perang ke atas Malaysia sedangkan tiada isu besar yang menggugat keselamatan negara.

''Bagaimanapun, saya percaya ini hanyalah tindakan pihak tertentu yang tidak menyenangi hubungan yang terjalin serta bertujuan meraih populariti sementara,'' katanya.Dalam pada itu, beliau turut memohon agar rakyat Malaysia tidak mengendahkan provokasi tersebut kerana ia tidak mungkin terjadi.

Suara Politik

6 comments:

Detguaq 9 September 2009 at 16:46  

Tidak perlu tindakan yang sama.

Yang perlu iaah tindakan diplomatik seperti

1. mewajibkan stesyen radio kerajaan dan swasta bekukan lagu indonesia bagi menghormati hak seni mereka. Lagu minangpun sodap gak.....

2. Hentikan segala bentuk tayang samada telenovela dan drama bersiri, juga untuk menghormati hak seni mereka. Kan ado dramo yang buek kat ranah minang, hah ulangtayang je ceghito tu. Buleh gak den blaja sikit2 bahaso minang. Nanti bilo kek sano den nak poi caghi wagheh den kat combung.....

3. Pelawa secara berhemah mereka yang tumpang cari makan disini terutama yang masuk cara haram untuk segera pulang dan jiran kita dari negara Asean lain masih banyak dan tahu mengormati tanah tempat cari rezeki.

4. Arak dan usung penjenayah dan real maling dari Indon yang berjaya ditangkap keseluruh area tempat mereka ditangkap sambil memberi penghormatan negara...kwang kwang kwang...

5. Pihak berkuasa Malaysia, sila selidiki gambar-gambar mereka dan senaraikan mereka dari dilarang masuk kenegara yang mereka anggap maling ini. Atau memang mereka tidak mampu hatta untuk melawat palembang kecuali diongkosi seperti apa yang mereka buat ini yang say percaya ada pembiaya dibelakang mereka. Rata-rata muka mereka bukanlah muka mereka yang berilmu, baik akademik mahupun agama.

6. Sebagai menghormati permintaan kerjaan untuk gaji minima oghang gajian deme, kita alih keMelayu Kemboja, Melayu Sri Lanka atau negara-negara lain yang membuat pelawaan munasabah. Melayu Petanipun molek jugo.

Banyak juga kalau nak disenaraikan. Bior mike pulaklah yang tambah. Teman dah tak sio...

Cheguman 9 September 2009 at 22:00  

Saya sangat setuju dengan saudara Detguaq. Ada beberapa cadangan saudara Detguaq yang saya lihat amat dekat dengan semangat 1 Malaysia yang dihasratkan PM kita.

torashah 11 September 2009 at 11:23  

‘Fikir rakyat Indonesia di sini’

HAMPIR 28 tahun menetap di Malaysia dan sudah menyaksikan pasang surut hubungan Malaysia-Indonesia merentasi beberapa era pemimpin.

Oleh itu, Khairuddin Harahap barangkali individu paling layak melontar pandangan mengenai riak perhubungan antara kedua-dua buah negara yang kembali berkocak ketika ini.

Pengarah Kajian Sosiologi Indonesia ini melihat apa yang berlaku sebenarnya adalah disebabkan oleh provokasi pihak ketiga yang mempunyai maksud dan kepentingan tertentu. Beliau juga berkeyakinan rakyat Indonesia yang keterlaluan melampiaskan perasaan marah terhadap Malaysia itu langsung tidak mengetahui situasi sebenar yang berlaku.

Kegagalan pihak berkuasa serta kerajaan Indonesia menangani kebangkitan sentimen kebencian terhadap Malaysia sehingga berjaya dimanipulasi oleh media turut memburukkan keadaan. ‘‘Di Indonesia demokrasi dan kebebasan bersuara begitu bebas. Jadi inilah antara natijahnya apabila kemarahan rakyat itu tidak dibendung dan diperbesarkan pula oleh media,” katanya kepada wartawan Utusan Malaysia, MOHD. KHUZAIRI ISMAIL, baru-baru ini.

bersambung

torashah 11 September 2009 at 11:25  

sambungan..1

UTUSAN: Apa sebenarnya yang mencetuskan sentimen kemarahan terhadap Malaysia di Indonesia?

KHAIRUDDIN: Saya melihat apa yang berlaku adalah kerana masalah laporan berita oleh media di Indonesia. Media di sana selalu mencari perkara sensitif tentang Malaysia dan sering kali laporan berita itu tidak seimbang. Sebagai contoh jika berlaku kes penderaan pembantu rumah atau seperti isu penggunaan budaya Indonesia di dalam dokumentari mempromosikan Malaysia baru-baru ini, media di sana terlalu memperbesarkannya.

Tetapi ketika puluhan rakyat Indonesia melakukan jenayah di negara ini dan ada yang ditembak mati oleh polis Malaysia sewaktu melakukan jenayah, berita itu jarang dimainkan oleh media Indonesia. Sehinggakan pada pandangan mereka, semua rakyat mereka yang mencari rezeki di Malaysia baik-baik belaka. Padahal hakikatnya tidak seperti itu. Tanpa laporan berita yang tidak seimbang, isu-isu seperti ini tidak akan berkembang.

Kenapa wujudnya sentimen sebegitu di kalangan media Indonesia?

Terdapat segelintir kumpulan di Indonesia yang sangat ‘silau’ dengan kemajuan yang dikecapi oleh Malaysia. Seharusnya jika tetangga kita maju, kita melihatnya dari sudut positif dan belajar bagaimana boleh menjadi sedemikian maju, sedangkan kita (Indonesia) dulu yang mengecapi kemerdekaan. Jadi mengapa kita tidak boleh maju seperti mereka?

Walaupun kumpulan yang cemburu dengan pembangunan Malaysia ini hanya segelintir, namun mereka mempunyai pengaruh yang besar dan menggunakan isu ini untuk membangkitkan sentimen terhadap Malaysia. Perkara ini juga berlaku kerana persaingan media di sana sangat tinggi.

Adakah kerajaan Indonesia mengambil langkah yang wajar dalam mengekang provokasi ini?

Seharusnya yang menjaga kepentingan Indonesia secara rasmi ialah Duta Besar Indonesia di Malaysia. Kita mengharapkan duta memainkan peranan yang penting secara berterusan untuk memperbaiki hubungan Malaysia-Indonesia. Tetapi dalam situasi ketika ini saya melihat hubungan itu bukannya bertambah baik, tetapi semakin tegang.

Saya tidak mengatakan Duta Indonesia gagal melaksanakan tugas. Tetapi beliau perlu berusaha lebih keras supaya hubungan ini dapat diperbaiki. Ketika zaman Presiden Suharto, hubungan Malaysia-Indonesia begitu akrab. Tidak ada isu-isu seperti ini dan duta-duta ketika itu juga dapat mengatasi permasalahan sebelum ia sampai ke pengetahuan umum atau media.

Jadi kenapa Duta Besar ketika ini tidak mampu mengatasi masalah ini sehingga ia terlepas ke media massa dan menjadi isu besar sehingga hubungan dua pihak menjadi tegang? Saya melihat prestasi Bapak Duta kebelakangan ini agak menurun.

Di Indonesia demokrasinya sangat bebas. Ini salah satu sisi negatif daripada demokrasi yang begitu bebas itu. Sesiapa sahaja boleh bercakap sesuka hati mereka. Sememangnya usaha kerajaan Indonesia mengurangkan desakan itu ada, tetapi ia hanya sekadar sebatas ucapan. Tindakan di lapangan tidak nyata.

Seperti dalam kejadian demonstrasi jalanan di Jalan Diponegoro, Jakarta kelmarin. Polis tidak seharusnya membiarkan penunjuk perasaan menahan kereta dan bertanyakan identiti rakyat Malaysia. Itu tindakan orang yang tidak bertamadun.

Kenapa polis membiarkan hal itu? Seharusnya sebaik kumpulan itu turun ke jalanan, polis tidak menunggu lama dan menghalang serta menahan mereka. Tidak sehingga ia diketahui oleh media dan kain rentang provokasi seperti ‘Sweeping Malaysia’ itu berjaya dirakamkan oleh media. Perkara ini tidak seharusnya dibiarkan kerana ia sangat mengganggu hubungan Malaysia-Indonesia.

Kelompok penunjuk perasaan itu juga tidak seharusnya memikirkan tentang diri mereka semata-mata, sebaliknya harus memikirkan tentang rakyat Indonesia di Malaysia. Mereka yang turun berdemonstrasi di jalanan itu sebenarnya tidak tahu situasi sebenar yang berlaku di Malaysia.

bersambung..

torashah 11 September 2009 at 11:27  

sambungan 2...

Menurut berita yang saya terima, mereka yang membawa kain rentang dan buluh runcing untuk mengusir orang Malaysia ialah penjaja, pembawa beca dan teksi serta penganggur. Mereka dibayar sebanyak 100,000 rupiah (kira-kira RM35) dan diberi nasi bungkus sebagai upah. Sesudah itu mereka bersurai. Jadi mereka bukan betul-betul militan yang mahu berperang dengan Malaysia.

Siapa pihak ketiga yang mengupah penunjuk perasaan itu?

Dalang itu sehingga kini tidak dapat dipastikan. Tetapi ada beberapa perkara yang boleh dikaitkan dengan provokasi ini. Ketika ini Indonesia dalam pembentukan Kabinet selepas kemenangan Presiden Susilo Bambang pada Pemilu lalu.

Jadi ramai di kalangan pemimpin merasakan mereka layak menjadi menteri lalu mempergunakan isu provokasi ke atas Malaysia ini sebagai posisi tawar-menawar jawatan terhadap Presiden.

Orang awam mungkin tidak tahu siapa di belakang penunjuk perasaan ini. Tetapi kalangan perisikan pasti tahu dan akan memaklumkan kepada Presiden bahawa pihak ini akan menggunakan pengaruh untuk menjadikan hubungan Malaysia-Indonesia kurang harmoni.

Jadi dalam keadaan seperti ini, mungkin Presiden akan mempertimbangkan agar pihak ini diberikan jawatan dalam Kabinet. Jika tidak, pihak ini akan melakukan gangguan yang seterusnya sehingga ia menjejaskan hubungan Malaysia-Indonesia. Jadi tidak mustahil sebelum menteri baru dilantik, akan ada gerakan anti-Malaysia yang lebih besar dalam masa terdekat dengan di belakangnya ialah orangorang yang mempunyai maksud seperti itu.

Kenapa Malaysia sering menjadi mangsa provokasi sedangkan di Singapura juga ada laporan kes penderaan pembantu rumah?

Kenapa Malaysia sering menjadi sasaran? Kerana pertengkaran seperti ini sebenarnya lebih kepada pertelingkahan abang dan adik. Jadi ia sangat menarik untuk diceritakan dan banyak pihak yang ingin mengetahui sejauh mana pertengkaran adik-beradik ini.

Jika cerita ini mengenai pertelingkahan antara Indonesia dan Singapura, orang tidak akan peduli dan akhbar juga tidak akan laku. Pertelingkahan Indonesia-Malaysia ini juga menarik perhatian rakyat Indonesia apabila si adik iaitu Malaysia pula jauh lebih maju daripada abangnya iaitu Indonesia.

Jadi dalam kemajuan Malaysia itu, si adik barangkali terlupa tentang masalah yang sedang dihadapi oleh abangnya. Kealpaan Malaysia itu mungkin kerana sebagai sebuah negara yang semakin pesat membangun, hubungan Malaysia tidak lagi sekitar negara Asia Tenggara, sebaliknya lebih meluas sehingga ke Barat, Asia Barat dan banyak lagi.

bersambung...

torashah 11 September 2009 at 11:28  

sambungan 3 ....

Maksudnya provokasi seperti ini akan terus kedengaran pada masa depan?

Persoalan antara Indonesia dan Malaysia ini tidak akan pernah berhenti sebab ia akan sentiasa ada naik dan turun. Tetapi jika pemerintah Indonesia benar-benar mahu isu yang membelenggu ini selesai, maka mereka perlu menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyatnya. Sehingga tidak ada lagi pembantu rumah atau buruh binaan perlu mencari rezeki di Malaysia.

Sebelum peluang pekerjaan kepada rakyat Indonesia ini tersedia, maka tidak perlulah rakyat Indonesia bercakap sombong. Merendah dirilah sedikit. Kita ini meminta dan yang meminta itu tangannya di bawah. Meminta bukan bererti kita mengemis kerana kita datang untuk bekerja. Kita tahu kita tidak mampu, jadi janganlah hidung tinggi. Usahlah sesuatu isu itu diperkecil atau diperbesarkan.

Tidakkah provokasi ini jika dibiarkan berpanjangan boleh menjadi semakin serius?

Untuk membayangkan pertelingkahan ini sehingga mampu mencetuskan perang, itu adalah sesuatu yang tidak mungkin. Tetapi hal ini boleh mengganggu iklim pelaburan baik di Malaysia mahu pun Indonesia. Pelabur akan menilai provokasi ini mampu mengheret kedua-dua negara ke kancah peperangan. Ini kerana mereka keliru.

Jadi tanggapan sebegitu akan menyebabkan iklim ekonomi Malaysia dan Indonesia tidak lagi sesuai dan selamat. Akhirnya pelabur-pelabur ini akan berpindah ke negara lain dan ini merugikan Malaysia dan Indonesia sendiri. Pelancong sama ada ke Pulau Langkawi atau Bali juga akan berkurangan.

Tambahan pula orang luar terutamanya Barat melihat di Indonesia sendiri ada kejadian letupan bom berani mati yang juga ada kaitannya dengan Malaysia. Jika provokasi ini berterusan, mereka akan berfikiran bahawa kejadian pengeboman itu akan berlaku lagi.


Adakah apa yang berlaku turut menjejaskan rakyat Indonesia di Malaysia?

Kami di sini selalu berusaha mempererat dan memanjangkan hubungan baik kerana kedua-dua pihak akan mendapat untung. Kami dapat pekerjaan di sini dan hasil pendapatan itu pula kami hantar untuk menjana ekonomi di Indonesia. Jadi kami di sini mahu hubungan baik antara Malaysia dan Indonesia itu tetap terjalin.

Jika hubungan ini rosak, kami di sini terpaksa menanggung kerugian. Kami akan kirim pasukan dari sini pulang ke Indonesia dan mencari orang-orang yang merosakkan hubungan ini. Jika mereka boleh turun dan membuat kacau di jalanan, kami juga boleh berbuat demikian. Jangan gara-gara mereka, kami susah untuk mencari makan di sini.

Perlu untuk saya tekankan, saya sendiri sudah 28 tahun di Malaysia dan kelima-lima anak saya bersekolah sehingga ke universiti di negara ini. Malah kerajaan Malaysia juga memberi pinjaman pendidikan kepada anakanak saya serta ramai lagi rakyat Indonesia.

Jika tinggal di Indonesia, belum tentu anak-anak mampu menjejakkan kaki ke menara gading. Ini sangat jelas dan nyata. Jadi tidak ada sebab untuk Malaysia dituduh zalim. Memang tidak dinafikan adanya kes seperti penderaan ke atas pembantu rumah oleh pihak yang hilang kawalan. Tetapi itu tidak menggambarkan pendirian dan sikap kerajaan. Jadi bagaimana rakyat Indonesia boleh mendakwa Malaysia tidak baik?

Apa harapan kepada rakyat Indonesia dalam mendepani isu ini?

Harapan saya supaya rakan-rakan dan aktivis di Indonesia melihat situasi ini dengan jujur. Ini kerana mereka tidak tahu situasi sebenar di Malaysia. Mereka hanya meneropong dari jauh. Saya juga berharap mereka tidak terlalu banyak bercerita tentang Malaysia.

Tetapi kalau mahu, saya syorkan mereka datang dan melihat sendiri keadaan di Malaysia. Bertemu dengan seberapa ramai wakil serta pekerja-pekerja Indonesia di sini. Kemudian balik buat kajian dan barulah membuat komentar. Jangan membuat komentar yang hanya didengar dari kiri atau kanan. Itu hanya akan memanaskan situasi. Mereka perlu datang sendiri ke sini.

salam perjuangan


Sila layari Channels N31

Blog Archive

  © Blogger templates 'Sunshine' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP